Tun Datuk Haji Mohammad Adnan Robert dilahirkan pada 10 September 1917 di Kota Kinabalu.  Nama asal Tun ialah Mickey Robert.  Beliau berumahtangga pada tahun 1942 dengan Datin Mariam Tseu dan mereka mempunyai tiga orang anak lelaki; Jonathan, Napier, James serta tiga orang anak perempuan; Ainslie, Janny, dan Arlene.  Tun pandai bertutur dalam beberapa bahasa, seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Cina, Murut dan Kadazandusun.Tun Mohammad Adnan memulakan kerjayanya pada tahun 1937, sebagai Pembantu Hospital (Probationary Dresser) di Sandakan, Ranau, Keningau dan Kota Kinabalu (Jesselton).Beliau kemudiannya menyertai perkhidmatan awam pada tahun 1949 dengan bertugas sebagai Penolong Pegawai Daerah di Pensiangan selama setahun.  Kemudiannya beliau telah dilantik sebagai Penolong Pegawai Daerah di beberapa kawasan pendalaman, misalnya Pensiangan (1951), Beaufort (1954), Ranau (1956), Penampang (1960), dan Lamag, Kinabatangan (1961).

Pada tahun 1963, Tun Adnan telah dinaikkan pangkat sebagai Pegwai Pembangunan (Development Officer) di Jabatan Tanah dan Ukur Keningau.  Kemudiannya pada 1965, beliau telah dilantik sebagai Pegawai Daerah Papar.  Seterusnya pada tahun 1966, Tun Adnan telah dipilih bertugas di Semenanjung Malaysia di bawah Rancangan Pertukaran Pegawai Kerajaan.  Beliau ditugaskan sebagai Penolong Pegawai Daerah Kampar, Perak. Sekembalinya dari Semenanjung, Tun Adnan telah ditugaskan di Kementerian Kewangan sebagai Setiausaha Pembangunan Negeri.  Pada tahun 1968, beliau dilantik sebagai Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Tun Adnan telah bersara pada tahun 1972 dan beliau diambil semula untuk bekerja selama enam bulan di Kementerian Pembangunan Perindustrian.

Tun Adnan dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah keenam pada 27 Jun 1978.  Beliau dikenali sebagai seorang yang berjiwa rakyat, sering membuat kunjungan lawatan ke seluruh negeri Sabah.  Pada 5 Oktober 1980, Tun Adnan bersama Toh Puan telah berangkat ke Mekah untuk menunaikan fardhu Haji.

Hobi Tun Mohammad Adnan pada masa lapang termasuk menunggang kuda, bermain bola tampar, bola sepak dan badminton.  Beliau juga merupakan Penaung kepada Persatuan Bulan Sabit Merah, Cawangan Sabah.
Di antara anugerah yang Tun Adnan telah terima adalah : Seri Panglima Darjah Kinabalu (S.P.D.K.) yang membawa gelaran “Datuk Seri Panglima” ; Darjah Kebesaran Negeri Sarawak yang membawa gelaran “Datuk Patinggi” (D.P.) pada 1980 ; Darjah Utama Pangkuan Negeri (D.U.P.N.) daripada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang yang membawa gelaran “Dato Seri” pada 1980 ; Setia Paduka Mahkota Perlis (S.P.M.P.) yang membawa gelaran “Dato” pada tahun 1978 dan Seri Maharaja Mangku Negara (S.M.N.) yang membawa gelaran “Tun” pada tahun 1979.

Tun Mohamad Adnan terus berkhidmat sebagai Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah untuk dua penggal dan bersara pada tahun 1987.  Tun Mohamad Adnan meninggal dunia pada tahun 2003.